Kerjaya awal Amir_Hariri_Abd_Hadi

Perjalanan beliau bermula di universiti dengan gerakan pelajar. Selepas tamat belajar, beliau bergerak aktif bersama Kelab Bangsar Utama, sebuah kolektif orang muda yang berpusat di Bangsar Utama, yang aktif dengan pelbagai aktiviti termasuklah Dapur Jalanan Kuala Lumpur, memberi pendidikan percuma kepada pelajar miskin, menjalankan kuliah-kuliah politik, menggerakkan stesen radio online, kelab filem serta terlibat aktif dalam menyusun gerakan-gerakan politik khususnya gerakan orang muda.

Pada 2015, bersama aktivis mahasiswa dan pemuda, beliau bersama mengasaskan Gerakan Anak Muda Demi Malaysia (yang kemudiannya dikenali sebagai Liga Rakyat Demokratik) dan dilantik sebagai Setiausaha Agung nya yang pertama.

Liga Rakyat Demokratik (LRD) adalah sebuah gerakan multi-partisan yang bertujuan mengangkat suara pemuda serta bergerak aktif menyusun gerakan seluruh negara. LRD menganjurkan beberapa demonstrasi termasuklah protes #TangkapNajib pada 2015 bersangkutan skandal 1MDB melibatkan Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak, yang mana lebih 30 aktivis termasuk beliau sendiri ditangkap dan dilokap selama beberapa hari. LRD turut menganjurkan Kongres Anak Muda yang pertama pada 2017, yang menghimpunkan orang muda rentas parti dari seluruh negara; yang pertama sepertinya dalam sejarah moden Malaysia.